Dana Amanah Saham Didik (ASD) dilancarkan pada 20 April 2001 sempena dengan usaha kerajaan dan juga PNB untuk memberi kesedaran kepada rakyat terutamanya ibubapa berkenaan kepentingan mengurus dan merancang simpanan dan pelaburan bagi pendidikan anak-anak di masa hadapan. Objektif dana ini adalah untuk memberi peluang pelaburan yang dapat menjana pulangan dan pertumbuhan pelaburan jangka panjang yang berpatutan kepada pemegang-pemegang unit..
Nilai ekuiti dana bagi belian dan jualan adalah tetap iaitu bernilai RM1 per unit. Ianya juga merupakan dana yang dijamin modal pelaburannya. Maksimum pelaburan bagi setiap pelabur adalah tidak terhad bergantung kepada saiz dana tabungan bagi yang berumur 18 tahun ke atas dan ke bawah. Dana ini juga terbuka kepada semua kaum untuk dilanggan.
Saiz tabungan bagi ASD ini terhad sebanyak 4.5 bilion unit manakala laporan akhir kewangan dimana pengagihan dividen diumumkan adalah pada 30 Jun setiap tahun. Dana ini membenarkan pencarum KWSP melabur menggunakan simpanan KWSP yang dimilikinya.

