Hari ni adalah 1 Mei. Tarikh keramat yang telah dikhususkan setiap tahun kepada golongan memburuh di seluruh dunia – Hari Buruh. Hari istimewa buat golongan yang senantiasa mendedikasikan sepanjang hidup membanting tulang untuk meneruskan kesinambungan hidup. Meneruskan survival berstatuskan rakyat marhein yang mendukung idealogi bahawa segala di dunia ini berkiblatkan kepada ekonomi. Formulanya mudah. Tiada ekonomi, tiada kemajuan, maka tiada kekayaan. As simple as that.
Tidak kira jika kita tergolong dalam kelompok kolar putih, kolar biru mahupun dari golongan rendah, pertengahan atau atasan dalam sistem sosialis, selagi kamu adalah marhein, selagi itu kita akan dikerah tenaga untuk memenuhkan kantung kumpulan konglomerat. Golongan tidak pernah memandang ke bawah mendengar rintihan serta kesengsaraan warga yang dikerah. Ini termasuk 2 juta ekspatriat berstatus halal dan entah berapa juta yang datang secara haram dari Indonesia, India, Bangladesh mahupun Myanmar yang ditipu dengan dibayar gaji rendah atas alasan untuk bayaran urusan membaharui pasport. Hidup dalam ketakutan kerana diburu oleh polis, imigresen mahupun RELA.
Kita masih lagi setia memburuh. Memburuh tanpa mengira waktu adakalanya sehingga 18 jam sehari. Berkerja walau dalam kondisi demam yang memaksa tubuh menjerit meminta rehat. Adakalanya perlu melakukan 2 kerja. Ada masanya sanggup menerima upah yang rendah yang tidak setimpal dengan beban kerja. Namun semuanya tidak diendahkan demi meneruskan kehidupan. Demi memenuhi impian. Ini dijanjikan oleh dunia. Dunia yang sememangnya tidak pernah berlaku adil. Tidak pernah mengasihani kepada setiap isi manusia yang menghuni.
Semuanya disebabkan oleh doktrin yang kita berpegang dan percaya – Akta Buruh 1955. Sistem dan undang-undang buruh yang lapuk dan tidak pernah disemak semenjak zaman merdeka kerana mereka lebih senang berbicara tentang kes liwat. Bertekak berkenaan wanita menyebabkan bahaya ketika memandu. Undang-undang yang menjerut serta menyebabkan kita pasrah untuk menghamba abdi serta menyerah diri sehingga umur 58 tahun terhadap sistem. Dan perkara ini pernah disuarakan kenapa akta ini perlu dipinda. Adakalanya golongan marhein ini merupakan golongan pertama yang akan dibuang kerja secara beramai-ramai atas desakkan serta tekanan ekonomi yang meruncing. Ini pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi golongan kapitalis.
Rintihan serta kesengsaraan kita tidak pernah diperdengarkan. Tuntutan serta perjuangan yang dilakukan oleh Presiden Cuepacs - Omar Osman untuk rakyat mahrein tidak pernah mendapat pertimbangan. Alasan demi alasan diberikan untuk menolak, kerajaan akan membelanjakan emolumen yang tinggi jika tuntutan ini dipenuhi. Sedangkan setiap tahun kita dibebani kenaikan harga yang dilakukan oleh mereka sendiri. Ini belum di ambil kira nasib 60 ribu pekerja kontrak kerajaan yang telah berkhidmat lebih dari 2 tahun. Menunggu diserap ke jawatan tetap dan nasib tidak menentu sedangkan umur dan keadaan menekan menuntut fitrah manusia untuk berevolusi. Apakah benda ini tidak dipandang oleh mereka yang mengurus tadbir?
Ini harga yang perlu dibayar oleh kita rakyat mahrein terhadap sistem. Terhadap cara ia dilaksanakan. Apa yang diperolehi cuma wang ehsan yang dikhabarkan setiap kalinya perbentangan baget – jika ada. Dan setiap kalinya hari ini tiba, beribu-ribu daripada kita akan berarak dan berkumpul untuk mendengar amanat. Mendengar ucapan bermotokan “Bekerjalah bukan untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya”. Mendengar harapan serta tuntutan yang dapat didacingkan untuk ditunaikan walau sedar ianya hanya sekadar suatu fantasi.
Kepada kamu yang bakal menghumban diri bagi pengabdian diri terhadap sistem ini, aku ucapkan selamat menempuh. Jangan rasa terkejut jika permohonan sebagai Juruaudit atau Pegawai Tadbir tetapi sekeping sijil degree kamu adalah kejuruteraan, kamu di tolak mentah-mentah walaupun polisi menyatakan kamu layak untuk memohon. Di soal kenapa memohon jawatan yang jauh bidangnya. Di henyak untuk memohon jawatan yang sesuai dengan kelulusan. Sekali lagi implimikasi yang mengagalkan sistem yang diurus oleh manusia yang tidak pernah memberi peluang.
Terima kasih aku ucapkan kepada mereka yang menyusun bata membina pencakar langit, kepada mereka yang mencangkul tanah untuk bercucuk tanam, kepada mereka yang memukat tunda di tengah laut untuk memberi nikmat hasil laut, dan kepada golongan-golongan yang terlibat secara langsung atau tidak dalam mencari kekayaan dan memajukan negara ini. Membina tamadun Malaysia selama 53 tahun. Terima kasih dan salam salute aku ucapkan.
