Aku ingin mengucapkan salam salute kepada seluruh warga pendidik serta tidak dilupakan juga kepada bekas pengajar di seluruh Malaysia. Salam khas yang aku tujukan kepada golongan yang mendedikasikan serta memperhambakan diri dalam dunia keilmuan dengan mencurahkan ilmu terhadap setiap isi warga muda di Malaysia yang dahagakannya – tidak kira seceruk mana rupa bentuk geografi mahupun topografi – untuk bernafas di dunia serta memakmurkan tamadun yang penuh pancaroba. Suatu sumbangan terhadap kitaran sosiologi yang tinggi martabatnya. Yang harus dipuji. Saban tahun pasti bait-bait lirik ini akan dinyanyikan.
~ Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua ~
Tak perlu jauh, cukup dari zaman Tun M menjadi Menteri Pendidikan –perkenal kongsep 3M – hingga kini yang dipegang oleh Dato’ Muhyiddin Yassin, sistem pendidikan negara mengalami beberapa transformasi. Perubahan sama ada secara radikal mahupun biasa atas alasan untuk memajukan serta memperkasakan ilmu pendidikan di Malaysia. Persoalannya, adakah setiap sistem yang diperkenalkan itu memberi impak yang positif atau menjadikan ianya menjadi semakin bercelaru dan memungkinkan generasi muda semakin bangang? Ini yang perlu difahami dan diketahui.
Contoh paling dekat yang aku nak ambil berdasarkan pengalaman. Darjah enam, sistem peperiksaan UPSR dah diubah daripada objektif bagi subjek Inggeris kepada subjektif. Kemudiannya berubah lagi dengan wujudnya subjek Sains tapi dimansuhkan subjek Alam & Manusia. Kenapa perlu mansuhkan subjek ni sedangkan bagi aku subjek ni memang sangat relevan. Subjek ni la yang membenarkan kita belajar tentang Geografi, Sains dan survival hidup. Subjek ni la yang memberikan pendedahan awal kepada aku berkenaan ibu negara bagi negara-negara Asean. Cuba tanya budak-budak yang belajar darjah 4-6, rasa-rasa tahu atau tak benda ni?
Tak cukup dengan tu, kementerian sibuk nak bubarkan PMR. Nak ada 1 peperiksaan iaitu SPM sahaja. Sampai hari ni, langsung takde berita. Yang aku tahu hanya penuh terma ‘dalam proses kajian’. Sebagai langkah permulaan, diperkenalkan tahun lompat, yang cemerlang dapat jimat 1 tahun. Tapi setahu aku perkara ni cuma jadi untuk beberapa tahun. Sekarang ni haram rasanya nak ada. Lainnya berkenaan sistem pendidikan subjek Sains dan Matematik yang ditukar kepada Inggeris kemudiannya kembali kepada Melayu.
Sistem pendidikan negara pada sekarang ni bagi aku mengalami kecelaruan dan tunggang langgang sebab tiada suatu ketetapan yang khusus. Kalau dijalankan suatu dasar, pasti dasar tu takkan lama bertahan. Ini yang pasti. Kalau suatu sistem itu kerap bertukar-tukar, aku tak pasti proses untuk memantapkan institusi pendidikan makin sukar. Hanya yang berlaku adalah dengan kerap menghantar pegawai untuk makan angin di negara Australia, Britain, Jerman mahupun Perancis atas alasan untuk mencedok seberapa banyak mungkin ilmu berkenaan pendidikan yang boleh di implimentasikan.
Bagi aku, sistem pendidikan di Malaysia bertunjangkan kepada teori semata-mata atau belajar semata-mata untuk peperiksaan. Ianya selari dengan membentuk kerjaya. Cemerlang dengan CGPA 3.0 ke atas, maka peluang untuk kerja dengan kerajaan cerahlah. Below than that, maka masuk longkang merempat la kamu. Ini hakikat. Aku bukan nak menafikan berkenaan kaitannya. Tapi mana sifat adil dari segi sudut pandangan lain? Kenapa hanya dipandang pointer tinggi melangit, maka stigma cemerlang dan patut diambil bekerja? Ini yang aku nampak sekarang. Adakah pointer 2.0-2.9 itu tidak berkelayakan dan tidak mempunyai buah fikiran bernas? Come on la weh, aku pernah jumpa student cemerlang dengan CGPA 3.45 dalam IT tapi tak tahu nak daftar email Yahoo atau Gmail.
Dari dulu aku asyik fikir. Kenapa negara kita tak boleh nak implimentasi sekurang-kurangnya sistem pembelajaran seperti di luar sana. Dari sekolah rendah dah didedahkan dengan pembagai ilmu – Astronomi, Algebra, Sains, Kesenian dan Muzik dan macam-macam lagi. Kalau gunakan alasan pelajar kita tak tertanggung untuk belajar, macam mana pelajar diaorang mampu untuk belajar? Ini alasan tak masuk akal. Bagi aku, pendedahan awal seperti ini mampu mengenal pasti potensi mahupun kecenderungan kanak-kanak terhadap minatnya. Bukan waktu lepas PMR baru mengagau nak tentukan hala tuju. Bagi aku waktu ni adalah waktu kritikal sebabnya bila tersalah pilih, maka jahanamlah masa depan.
Walau apa pun, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap warga pendidik yang pernah mendidik aku dari zaman tadika hinggalah universiti. Buat ustazah di tadika PASTI, terima kasih kerana mengajar aku cukup dengan asas agama walaupun kini harfiahnya aku begitu syaitan. Terima kasih kepada Cikgu Rogayah – guru Bahasa Melayu – kerana tidak jemu memberikan dua tajuk karangan setiap hari untuk aku siapkan semasa darjah 6. Terima kasih kepada Cikgu Azmi, Cikgu Nik dan Shahari kerana kamu, aku bukan kaki bangku dan kenal apa itu art of football. Tidak lupa juga buat Cikgu Lee dan Cikgu Latifah yang sentiasa mencari peluang dan memiliki predator instinct untuk mendenda terutamanya menjahanamkan rambut panjang aku. Buat Cikgu Razak, terima kasih dengan libasan jalur Adidas serta kata-kata jaminan kamu serta Cikgu Nik Mat, terima kasih membenarkan diri kamu menjadi bahan jenaka kami semua yang menyebabkan aku sentiasa gagal dalam kimia.
Terima kasih juga aku kepada Cikgu Fatimah yang cool dan sabar dengan kerenah aku yang sentiasa tidur di dalam kelas masa tingkatan 3 hingga 5. Tidak lupa juga kepada Cikgu Shalina – merupakan cikgu paling hot dekat sekolah yang keseluruhannya pelajar berpunai – walau dah kahwin sebab kamu, aku bersemangat untuk belajar subjek Inggeris. Tak lupa juga Cikgu Mastura yang memahami dengan berjaya men-divert-kan fokus dan hati kami yang sentiasa menceritakan perihal diri dan keluarga serta pengalaman kamu – pergi melancong, nak masak apa untuk berbuka dan etc – sepanjang 45 minit kelas berlangsung meskipun tiada kaitan dengan subjek Sejarah yang diajar hanya 15 minit selama 2 tahun.
Buat En. Yazdi, Prof Dr Rahmah, Dr Lee Pat Moi, Prof Umi Sarah, Dr Yusoff dan lain-lain lagi, aku ucapkan ribuan terima kasih dengan ilmu yang kamu sumbangkan semasa pada zaman universiti aku. Terakhir sekali, terima kasih kepada ibu aku. Kerana bukan lempang kamu yang hinggap di pipi kerana kecewa dan menyebabkan aku terperosok di bawah meja kerana tidak hafal sifir 2 hingga 9 semasa darjah 3, aku mungkin tidak berjaya sehingga kini. Juga tidak lupa kepada orang-orang sekeliling aku secara langsung atau tidak yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Tidak lupa juga kepada diri sendiri yang menjadi guru kepada orang lain dan juga diri sendiri tanpa kamu sedar.

Betul tu, sistem pembelajaran di Malaysia sangat berorientasi peperiksaan, bukan pembentukan manusia. Pointer tinggi hanya menunjukkan kecemerlangan dalam akademik, tapi tidak semestinya cemerlang bila di praktikkan. Kecenderungan manusia ni perlu di asah dari kecik lagi, bukan lepas SPM baru nak tentukan hala tuju.