May 20, 2012

Kaitan Kapitalisma, Konsumerisme & Perayaan

Entri ini relevan sepanjang masa. Tidak khusus atau tertumpu pada satu malahan sesuai bagi setiap jenis perayaan tidak kira Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas mahupun Hari Gawai – atas semangat 1Malaysia – perayaan disambut dengan meriah. Tidak menjadi kesalahan jika entri ini kerap di-repost atas dasar kemalasan untuk menulis.

Waktu ini – 16 hari sebelum Aidilfitri – sudah mula kelihatan di kedai dan pasaraya malahan gerai sementara menjual pelbagai kelengkapan seperti songkok, baju melayu, sampin, baju kurung juga tidak ketinggalan kuih raya. Sebagai kaum terbesar di Malaysia – Melayu – yang jumlahnya kira-kira 17.3 juta dari keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 28.3 jutarekod tahun 2010, Aidilfitri atau Hari Raya Puasa ini merupakan perayaan yang terbesar di Malaysia.

Mengikut perkiraan kasar survey, setiap keluarga yang menyambut Aidilfitri akan membelanjakan sebanyak RM500 untuk tujuan persiapan. Untuk pemahaman dan kiraan mudah, 16 juta penduduk – purata 4 orang di dalam satu keluarga – bermakna sudah ada 4 juta keluarga. Jika setiap keluarga ini berbelanja sekurang-kurangnya RM500 – ini bermakna jumlah perbelanjaan mencecah RM2 billion bagi hari tersebut. Ini sekurang-kurangnya.

Namun saya yakin, jumlahnya pasti lebih tinggi lagi memandangkan keinginan hakiki yang semestinya mahukan segalanya trendy. Inginkan segalanya yang baru dan terkini. Apa kelas pakai barang tahun-tahun sudah. Sebagai contoh lihat sahaja harga baju melayu sudah berapa – sekurang-kurangnya RM60 – RM100 sepasang. Ini tidak termasuk lagi dengan petrol, tol, duit raya untuk sanak-saudara and etc – jadi RM2 billion hanyalah suatu angka yang kecil jika dibandingkan dengan hakikat sebenar.

Apa pun, sekarang sudah mula kedengaran cakap-cakap, keluh kesah dan rungutan berkenaan harga di pasar bagi daging, ayam, bayang merah malahan santan yang mula naik harga. Ini tidak termasuk gula, sayur-sayuran dan beras. Kenapa tiba-tiba harga barangan ini naik melonjak sedangkan ianya dikatakan oleh Datuk Ismail Sabri Yaacob bahawa itu semua adalah harga kawalan? Dikuatkuasakan dan wujudnya harga siling?

Ya habbi ya maulana, ini adalah kerana budaya konsumerisme. Konsumerisme ini adalah satu mekanisma yang digunapakai oleh para pemodal kapitalis untuk meningkatkan penjualan. Secara bijaksananya para kapitalis akan sedaya upaya untuk menaikkan harga pada ketika ini dengan mewujudkan beberapa alasan yang sangat bullshit and crap. Meskipun kerajaan mewujudkan harga siling untuk mengawal harga, para kapitalis bukannya bodoh. Mereka tetap akan mendapat untung dengan mengenakan harga paras siling tertinggi bagi barangan yang dikawal.

Jadi, bagaimana hubungan antara perayaan, dan konsumerisme ini dapat membantu para pemodal kapitalis untuk terus meraih keuntungan yang berlipat ganda? Cuba lihat bagaimana konsumerisme mempengaruhi minda kita. Kita tetap akan membeli daging, ayam mahupun santan meskipun semakin mahal sebab minda kita sudah di’embbed’kan bahawa ini merupakan lauk wajib ketika Aidilfitri. Termasuk juga dalam hal pakaian dan kelengkapan yang lain. Ini belum lagi diceritakan bagaimana remaja sekarang yang mahu kelihatan cool dan trendy akan cuba mengikuti pasaran terbaru telefon bimbit terkini. Dan orang pun akan membuang telefon bimbit yang dikatakan canggih sekarang – untuk mendapatkan telefon yang lebih canggih. Rekaan dicipta untuk kecanggihan, bukan untuk keperluan. Trendy but not nessacity.

Seperti yang kita sedia maklum, perayaan ini adalah satu sambutan budaya. Mana-mana budaya pun pasti ada perayaannya tersendiri. Tetapi apabila budaya konsumerisme telah diterapkan dalam pemikiran kita – maka perayaan yang ada itu sudah tidak bermakna lagi. Anak-anak bersalam dan mencium tangan bukan mahu mengharapkan keampunan dan kemaafan, tetapi berfikir tahun ini kertas warna merah atau warna hijau? Janganlah kertas warna biru. Ini hakikat. Orang datang beraya bukan mahu menziarah atau melawat sanak saudara dan sahabat handai – tapi mahu melihat langsir atau alas kerusi baru, ataupun TV plasma baru. Ini hakikat.

Selain itu, media memainkan peranan penting dalam terus memastikan konsumerisme akan terus menjadi ideologi orang ramai .Apabila menteri itu atau ini berpesan supaya berjimat cermat dalam berita, sambil mengumumkan harga kawalan – kemudian diselang-seli dengan iklan promosi terbaru perabot sempena Aidilfitri. Promosi terbaru pakaian, potongan sehingga 80 peratus sempena Aidilfitri.

Jadi, apabila berakhirnya Aidilfitri, RM2 billion (sekurang-kurangnya) sudah dibelanjakan. Maka tersenyum lebarlah pembuncit kapitalis kerana penyata kewangan menunjukkan keuntungan memberangsangkan. Sekali lagi – orang ramai bekerja untuk memulihkan kewangan selepas Aidilfitri. Dan apa yang berlaku hari selepas Aidilfitri akan terus berulang lagi, dan ulang lagi.

Apa terjadi pada nasib barangan atau baju yang lama? Yang lama sangat sama ada dibuang atau dijual ke bundle. Ada juga jadi kain buruk. Dan ada juga yang konon mahu menjadi masyarakat pemurah – mensedekahkan baju lama kepada anak-anak yatim (poorah, anak yatim sekarang pun dapat bajet lagi up dari kita). Dan kita akan terus membeli, bekerja, membeli sehingga kita tidak sedar – kita bekerja untuk membeli barang. Kita tidak peduli kemiskinan orang lain, kita rasa kita berusaha segigih-gigihnya tapi kita tak pernah kenang kemelaratan orang lain dalam berhari raya. Kita jadi bangsa yang tidak peduli.

Jangan jadikan alasan raya setahun sekali dan kita harus merayakan hari yang mulia ini dengan kemewahan. Pembaziran anda yang merasakan hanya untuk tempoh sebulan itu mungkin berbulan-bulan bagi sesetengah orang yang hidup di bawah garis kemiskinan. Thanks Nami.

Speak Your Mind

*